Lelaki Ditemukan Maut Dalam Kenderaan Pacuan Empat Roda

03/11/2024 10:19 PM

IPOH, 3 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berkunci di Taman Hillpark Waterfront, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian membabitkan mangsa berusia 42 tahun itu pada 11.36 pagi.

Beliau berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki di bahagian kerusi penumpang dalam sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton yang terkunci. 

"Anggota bomba berjaya membuka pintu dengan menggunakan peralatan khas untuk membawa keluar mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sabarodzi berkata mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga penganggur kerana disyaki melakukan perbuatan khianat dengan menconteng jambatan besi kereta api Kampung Bahagia Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan ACP Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan berkata suspek berusia 44 tahun itu ditahan di lokasi kejadian bersama empat tong cat pelbagai warna yang dipercayai peralatan digunakan bagi melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

“Suspek didapati positif dadah dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau dari 2012 hingga 2022,” katanya.

Ahmad Adnan berkata suspek direman bermula hari ini hingga 6 Nov untuk siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan