KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat sebuah perniagaan fesyen dalam talian tempatan dan tiga premis lain hari ini bagi membantu siasatan kerugian pelaburan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Menerusi hantaran di laman TikTok rasmi SPRM, suruhanjaya itu memaklumkan serbuan berkenaan dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan melibatkan kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta.
Video selama 58 saat itu memaparkan anggota SPRM tiba di pejabat perniagaan fesyen dalam talian berkenaan di sini dan membuat pemeriksaan serta soal siasat.
Hantaran itu turut memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM, namun tidak mendedahkan lokasi premis lain yang diserbu secara serentak hari ini.
Bernama sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai serbuan berkenaan.
Sabtu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memberi jaminan siasatan berkaitan kerugian pelaburan oleh Khazanah dan PNB terhadap perniagaan fesyen dalam talian itu akan dijalankan secara adil dan profesional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial