MANJUNG, 4 Nov (Bernama) -- Sebanyak 69,379 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan berikutan pemeriksaan terhadap 526,215 kenderaan perdagangan dan lain-lain kenderaan, dalam Op Khas Kenderaan Perdagangan di seluruh negara bermula 1 hingga 31 Okt lepas.
Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muhammad Kifli Ma Hassan berkata daripada jumlah yang diperiksa itu, sebanyak 551 kenderaan perdagangan telah disita dan 133,714 lagi dikenakan notis.
Beliau berkata kebanyakan kenderaan perdagangan yang disita kerana gagal mematuhi peraturan di bawah mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
"Dalam tempoh sebulan JPJ telah menjalankan pemeriksaan terhadap 185,340 kenderaan barangan, perkhidmatan awam (24,208) dan lain-lain kenderaan (316,667) dengan kesalahan paling banyak direkodkan ialah berkaitan notis JPJ (P) 22 (100,577 notis) dan arah periksa Seksyen 61 (1) (13,402 notis).
"Selain itu, 10,277 notis turut dikeluarkan bagi arah timbang (Seksyen 63(3) untuk larangan penggunaan kereta motor dan 4,533 notis dikeluarkan bagi arah timbang (Seksyen 63(3) untuk kenderaan melebihi muatan," katanya pada sidang media Op Khas Motosikal 2024 di sini hari ini.
Muhammad Kifli berkata dalam operasi yang diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu, sebanyak 1,713 pemandu telah diambil saringan air kencing dengan 79 daripada mereka didapati positif dadah.
"Kita telah saring 1,324 pemandu kenderaan perdagangan, perkhidmatan awam (70) dan lain-lain kenderaan (319), dengan 71 pemandu utama dan lapan pemandu kedua positif dadah yang kesemuanya berusia antara 22 hingga 55 tahun.
"Paling ramai mereka yang berusia 26 hingga 35 tahun iaitu 37 orang yang kebanyakannya positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Beliau berkata JPJ memandang serius statistik tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.
"Kita ingin memaklumkan bahawa JPJ sentiasa memantau bukan hanya di jalan utama malah di jalan Persekutuan serta jalan kecil yang sebelum ini tidak pernah dilakukan.
"JPJ komited untuk memastikan keselamatan semua pengguna di samping meminimumkan kadar kemalangan, kecederaan parah dan kematian serta mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial