Ahli Perniagaan Didenda RM4,600 Miliki Bahan Lucah

05/11/2024 05:58 PM

KLANG, 5 Nov (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan dalam industri kecantikan didenda RM4,600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengakses dan menyimpan bahan lucah dalam dua telefon pintar, semalam.

Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan Chai Kien Tung, 29, (he) menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda, namun tertuduh membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Chai didakwa mengakses dan menyimpan bahan lucah seperti video atau gambar di dalam dua telefon pintar di bilik kawalan sebuah kondominium pada 12.10 tengah malam, semalam.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa telah ternampak telefon bimbit dari atas sebuah bilik tandas menghala ke arah mangsa semasa tengah mandi. 

Pengadu keluar dari tandas dan berjumpa dengan pengurusan kondominium untuk menyemak rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), di mana didapati tertuduh telah melarikan diri dari tandas tersebut.

Mangsa juga mengesyaki tertuduh telah merakam video ketika beliau sedang mandi sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Peguam Nur Husnina Ahmad yang mewakili Chai memaklumkan bahawa anak guamnya masih bujang dan bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, serta menanggung ibu bapa dan nenek yang sakit.

“Gambar-gambar dalam milikan tertuduh tidak dikongsi kepada sesiapa. Kami memohon denda minimum RM2,000 bagi setiap pertuduhan. Tertuduh juga memohon maaf dan insaf, berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi meminta agar hukuman berbentuk pencegahan dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan untuk kepentingan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan