KLANG, 5 Nov (Bernama) -- Seorang penjual burger dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan khianat, ugutan jenayah dan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bekas kekasihnya Ogos lepas.
Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan Akmalrulnizar Hafif Kamarulhisham, 23, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Ogos lepas, dan dia turut diperintah menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Akmalrulnizar Hafif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bekas teman wanita yang berusia 23 tahun dengan menggunakan kayu besbol sebagai senjata untuk menyerang yang mungkin menyebabkan kematian.
Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik wanita itu, yang boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Selain itu Akmarulnizar Hafif turut menghadapi pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menghayunkan parang kepada mangsa sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Teluk Gong, di sini pada 6 pagi, 10 Ogos lepas.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan mencederakan dan ugutan jenayah dengan hukuman itu diperintahkan berjalan serentak, manakala denda RM1,000 dikenakan bagi dakwaan melakukan khianat.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Saifullah Muhamad Azmi mewakili lelaki itu memaklumkan berlakunya perselisihan faham antara anak guamnya dengan mangsa dan tertuduh secara tidak sengaja terlepas kayu besbol itu lalu terkena wanita itu.
“Anak guam saya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya. Mohon hukuman penjara dalam tempoh singkat dan berjalan serentak," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya NurulJannah Aimi pula berkata lelaki itu mempunyai tiga pertuduhan, dan memohon supaya hukuman berbentuk pencegahan sebagai pengajaran, mengambil kira faktor kepentingan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial