IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Sejumlah barang kawalan iaitu gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula dan tepung gandum disyaki disimpan dalam sebuah premis untuk tujuan perniagaan, disita di Kuala Sepetang, Taiping, pagi semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata barang kawalan itu dirampas dalam satu serbuan selepas seorang lelaki warga tempatan berusia 79 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis, gagal mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan telah menemui 104 tong gas LPG, 19 minyak masak botol, 40 kilogram (kg) minyak masak peket, 132 kg gula pasir kasar dan 396 kg tepung gandum yang keseluruhannya bernilai RM10,935.70,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kamalludin berkata pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawasan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Beliau memberi amaran kepada peniaga yang menggunakan dan menyimpan barang kawalan terjadual terutamanya gula, minyak masak, tepung gandum dan gas LPG untuk mendapatkan permit kebenaran menyimpan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas oleh KPDN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial