KOTA KINABALU, 11 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir berlindung di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah tidak banyak berubah tengah hari ini, iaitu 4,530 orang daripada 1,488 keluarga berbanding 4,555 orang daripada 1,493 keluarga pada malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir paling ramai direkodkan di Beaufort dengan 1,719 mangsa daripada 556 keluarga di tujuh PPS.
Ini diikuti Tenom dengan 1,119 orang daripada 420 keluarga ditempatkan di 14 PPS, Membakut (914 orang daripada 312 keluarga di lima PPS) dan Sook (778 orang daripada 200 keluarga di tiga PPS).
"Sebanyak 41 kampung terjejas akibat banjir iaitu 16 di Tenom, masing-masing 10 di Beufort dan Membakut serta lima di Sook," menurut kenyataan itu.
Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah juga menerusi kenyataan memaklumkan jambatan di KM0.74 Jalan Minasut Kampung Baru ke SRK, Keningau ditutup sehingga dimaklumkan kelak.
"Penutupan disebabkan struktur abutment (penampan) jambatan runtuh akibat bencana banjir kilat dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan," menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin melalui jambatan itu dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Baru dan Jalan Minasut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial