Pendengaran Permohonan Tommy Thomas Supaya Roz Mawar Tarik Diri Ditangguh 9 Dis

06/11/2024 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pendengaran permohonan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas supaya Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman yang difailkan oleh Tan Sri Shahrir Ab Samad terhadap beliau dan tiga lagi berhubung pendakwaan berniat jahat, ditangguhkan hingga 9 Dis ini.

Peguam Mervyn Lai Wei Shiung yang mewakili Thomas berkata mahkamah menetapkan tarikh baharu itu bagi membolehkan Shahrir memfailkan afidavit balasan kepada afidavit tambahan yang difailkan bekas Peguam Negara pada Jumaat lepas.

"Oleh itu, kes ditangguhkan ke 9 Dis ini," katanya kepada pemberita selepas prosiding kes itu hari ini di hadapan JC Roz Mawar, yang turut dihadiri peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Shahrir.

Pada 26 Ogos lepas, Thomas memfailkan permohonan supaya Roz Mawar menarik diri selepas mendakwa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil sekiranya pesuruhjaya kehakiman itu mendengar kes saman berkenaan.

Pada 3 Julai lepas, Roz Mawar menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman itu dan kes ditetapkan bagi pendengaran penuh selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Saman yang difailkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu pada Disember tahun lepas ialah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas yang menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020 dalam afidavitnya telah menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai "tidak boleh dipertahan".

Beliau berkata budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas Pendakwa Raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasat seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Thomas berkata beliau telah meletak jawatan pada 28 Feb 2020, dan pada 26 Julai 2022 perbicaraan jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Jan 2023, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri selepas pendakwaan memaklumkan bahawa ia tidak berhasrat untuk meneruskan kes itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan