KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dan merampas 18,000 biji pil kuda seberat 2.2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM165,000 di belakang sebuah sekolah di Kampung Kota Jembal, di sini pada Isnin lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek berumur 29 tahun itu ditahan bersama motosikal di kampung itu dipercayai sedang menunggu seseorang pada 7.30 malam.
Beliau berkata ketika suspek diperiksa, polis menemukan satu bungkusan plastik berwarna putih di dalam raga motosikalnya dan pemeriksaan lanjut di dalam plastik itu mendapati ada tiga bungkusan kekuningan berisi 18,000 biji pil kuda.
"Kami percaya suspek sedang menunggu pelanggannya untuk mendapatkan dadah itu yang dianggarkan boleh digunakan sebanyak 18,000 penagih.
“Selain dadah, polis turut menyita motosikal yang digunakan suspek serta wang tunai RM1,500 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata suspek memiliki tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan disahkan positif dadah serta direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 Nov untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berikutan itu, Mohd Yusoff berkata sebanyak 663 individu berumur antara 17 hingga 65 tahun telah ditahan dalam Op Tapis Bersepadu dan Op Bersepadu Sempadan yang bermula 29 Okt hingga semalam serta merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM4.87 juta.
Mengulas mengenai penglibatan anak muda dalam dadah dan berhibur di Sungai Golok, Thailand, Mohd Yusoff berkata ibu bapa diminta memantau pergerakan anak mereka terutama pada hujung minggu kerana sekiranya mereka berhibur di kelab malam, dikhuatiri akan terjebak dengan bahan terlarang itu.
"Dadah mungkin dimasukkan ke dalam minuman, makanan dan cecair vape semasa berada di premis hiburan di pekan sempadan itu yang bertujuan mengkhayalkan mereka sekali gus berpotensi membuatkan anak muda menjadi penagih," katanya.
Beliau berkata ketamin dan erimin 5 merupakan dadah yang boleh merangsang keseronokan serta khayal.
Pada Jumaat lepas, enam warga Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun telah ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok di sebuah hotel berhampiran pekan itu kira-kira 5 pagi kerana dipercayai memiliki 6,000 biji pil kuda dan turut melakukan kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial