JIM Tahan 71 Warga Asing, Serbu Pangsapuri Dijadikan Koloni Di Ibu Negara

06/11/2024 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 71 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah pangsapuri berusia lebih 30 tahun yang dijadikan koloni di Jalan Changkat Bukit Bintang di sini tengah hari tadi. 

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilakukan selepas menerima aduan daripada penduduk di pangsapuri berkenaan.

“Serbuan mendapati warga asing tinggal di unit pangsapuri yang diubah suai sehingga ada unit diduduki 20 individu, dan ia juga sangat tidak sesuai diduduki kerana tahap kebersihan yang teruk, bocor di sana sini dan terdapat bau yang kurang menyenangkan.

“Jadi, pihak penguat kuasa menerusi operasi bersepadu KL Strike Force bertindak membuat serbuan di bangunan enam tingkat menempatkan 30 unit kediaman ini pada 12 tengah hari selepas risikan selama dua minggu,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Wan Mohamed Saupee berkata warga asing yang ditahan terdiri daripada 57 lelaki dan 14 perempuan berumur lingkungan setahun hingga 56 tahun dari Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia, dan Thailand.

“Pemilik kediaman yang memberi sewa kepada warga asing juga sudah dikenal pasti dan akan dihubungi untuk siasatan kerana melindungi pendatang tanpa izin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Bahagian Teknikal Pembangunan DBKL Azmi Mohd Saaid berkata pihaknya telah merobohkan binaan dinding tanpa kelulusan di 27 unit pangsapuri yang disewakan kepada warga asing dalam operasi hari ini.

“Bangunan ini tidak ditutup kerana strukturnya masih selamat diduduki, tetapi DBKL akan memberikan notis kepada badan pengurusan bersama dan pemilik unit mengenai kesalahan yang dilakukan dan mengarahkan mereka membersihkan kawasan pangsapuri ini,” katanya.

Mengenai masalah bau busuk, Azmi berkata pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pernah cuba menanganinya sebelum ini, tetapi masalah berterusan kerana penghuni warga asing membuang sampah di tempat tidak sepatutnya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c), Seksyen 15(1) (c), Seksyen 56(1)(l), Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, tinjauan mendapati unit pangsapuri yang disewa kepada warga asing itu telah diubah suai daripada tiga kepada enam bilik dengan harga sewa serendah RM100 seorang dan RM300 hingga RM600 bagi sebuah bilik.

Seorang penduduk warga tempatan di pangsapuri itu Nurul Nizam Azhar, 41, berkata bau busuk di kawasan itu amat meloyakan ditambah dengan saluran air kumbahan yang bocor.

"Bau busuk di sini sangat teruk dan menyengat … keadaan menjadi lebih buruk kerana warga asing tinggal berama-ramai," katanya yang menyewa di lokasi itu sejak setahun lepas dengan kadar sewa kira-kira RM300 sebulan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan