Empat Lelaki Tempatan Ditahan Disyaki Terlibat Aktiviti Perjudian

22/12/2024 06:32 PM

IPOH, 22 Dis (Bernama) -- Empat lelaki tempatan termasuk warga emas ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti perjudian penjualan loteri awam tanpa lesen dalam serbuan di empat lokasi berasingan di Bagan Datuk semalam. 

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Supt Mohammad Ali Mohd Jali berkata dalam serbuan bermula 4.30 petang hingga 6.45 petang itu, membawa kepada penahanan empat lelaki terbabit yang berusia antara 32 tahun hingga 62 tahun.

Beliau berkata pihak polis juga berjaya merampas telefon bimbit serta pencetak mini mudah alih.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau lima tahun penjara jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini seramai 51 individu berjaya ditahan membabitkan kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka dalam 39 serbuan di sekitar daerah Bagan Datuk sepanjang Jun hingga Disember 2024.

Mohammad Ali berkata pihak polis berjaya merampas wang tunai hasil perjudian melebihi RM9,000 sepanjang serbuan dilakukan.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) Bagan Datuk memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram dan menyeru orang awam menyalurkan sebarang maklumat untuk tindakan pembanterasan segera," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan