BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 

Lelaki Perancis Pandu Mabuk Didenda RM10,000

07/11/2024 03:31 PM

BALIK PULAU, 7 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga Perancis didenda RM10,000 dan penjara enam hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk, minggu lepas.

Anthony Gilbert Georges Cazals, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Chia Huey Ting yang juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Cazals didakwa memandu kenderaan jenis Honda dengan kandungan alkohol dalam nafas sebanyak 257 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah (257mg/100ml) iaitu melebihi had yang ditetapkan 50 mg/100 ml.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun dan denda RM30,000 serta hilang kelayakan untuk mendapat atau memegang lesen selama dua tahun dari tarikh sebutan kes.

Timbalan Pendakwa Raya R. Lushani memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala peguam S. Vikneshwaran yang mewakili Cazals memohon denda minimum memandangkan tertuduh yang bekerja sebagai pelayan restoran di Bayan Baru hanya berpendapatan RM2,500 sebulan serta perlu menanggung ibu bapanya.

Vikneshwaran juga memohon tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan dia telah berada dalam lokap sejak tarikh tangkapan iaitu 3 Nov lepas dan berhasrat untuk pulang ke negara asalnya.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM10,000 dan penjara enam hari dari hari tangkapan serta memerintahkan lesen memandu antarabangsa milik Cazals digantung selama dua tahun.

Sementara itu, di kamar mahkamah yang sama, tertuduh juga didenda RM80 atau penjara tiga hari jika gagal membayar denda itu, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengganggu keamanan dengan cara menyebut perkataan yang kurang sopan dan menghina terhadap seorang anggota polis berpangkat koperal.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100. 

Kedua-dua kesalahan didakwa berlaku di Persiaran Bayan Indah pada pukul 2.30 pagi, 3 Nov lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan