BERITA TERGEMPAR | PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | |
MELAKA, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas sebanyak 560 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi serta 50 kg tepung gandum bernilai RM1,553 menerusi serbuan di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.
Pengarahnya Norena Jaafar berkata seorang penjual sayur warga Bangladesh berusia 30-an turut ditahan di sebuah premis di Batu Berendam kerana disyaki menjadi dalang mengedar barang kawalan itu di kawasan penempatan warga asing di tapak pembinaan.
"Hasil penahanan lelaki itu (penjual sayur), pihak KPDN menyerbu sebuah tapak pembinaan di Krubong dan menemukan 84 peket minyak masak bersubsidi di kedai runcit dan kedai makan di kawasan itu.
"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu disyaki terlibat dalam kegiatan yang sama di ladang kelapa sawit kira-kira tiga bulan lepas, namun berjaya melarikan diri," katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Op Bersepadu Kita Gempur) di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki itu masuk ke negara ini dengan permit sebagai pekerja pembersihan dan dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak dua tahun lepas.
Beliau berkata dalam Op Kita Gempur yang turut disertai Jabatan Imigresen Melaka, pihaknya menyerbu dua rumah di Malim dan Pengkalan Rama Pantai yang disyaki terdapat aktiviti menyorokkan bekalan minyak masak peket bersubsidi serta menemukan beberapa kotak barangan kawalan tersebut.
"Selain itu Jabatan Imigeresen menahan enam warga Bangladesh berusia 30 hingga 40-an untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Dua daripada yang ditahan juga akan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial