Kerugian Pelaburan Dalam FashionValet: SPRM Kesan Beberapa Transaksi Mencurigakan

07/11/2024 10:34 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan beberapa transaksi mencurigakan melalui siasatan berhubung kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ia melibatkan transaksi yang dilakukan kepada  sebuah syarikat dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet sejak 2018 hingga tahun lepas.

Beliau berkata perkara itu dikesan setelah pihaknya merampas kira-kira 60 kotak dokumen kewangan daripada FashionValet, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

“Kita melihat kepada aliran punca kewangan serta sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.

“Namun kita percaya ada sebahagian pelaburan yang disalah guna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam berkata pasangan pengasas FashionValet tidak ditahan buat masa ini serta memberikan kerjasama penuh kepada SPRM ketika dirakam keterangan yang memasuki hari ketiga hari ini.

Selain itu, beliau berkata SPRM sedang menyiasat pemilikan barangan mewah yang pernah ditayangkan oleh pasangan berkenaan di media sosial.

"Satu laporan khas akan dibuat oleh Bahagian Perakaunan Forensik kepada Bahagian Siasatan dan kita juga dalam peringkat pengesahan tentang pemilikan (barangan mewah) pasangan ini. 

"Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barang-barang yang ditunjukkan sebelum ini dalam sosial media," katanya.

SPRM dilaporkan telah membekukan beberapa akaun bank persendirian pasangan itu dan akaun syarikat bernilai kira-kira RM1.1 juta menerusi Op Favish semalam.

Kediaman pasangan itu turut digeledah dan 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000 telah disita.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan