KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Beng Hock terhadap ketua Polis Negara (KPN), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Dalam permohonan yang difailkan pada 4 Jan 2022, ibu bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee, 76, dan Teng Shuw Hoi, 71, telah memohon pengisytiharan bahawa kegagalan polis dan tiga yang lain melengkapkan siasatan kes kematian anak mereka dalam tempoh masa yang munasabah telah melanggar Seksyen 20 (3) Akta Polis 1967.
Pada 16 Jun 2022, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada pasangan itu untuk memulakan semakan kehakiman selepas menolak bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan itu.
Pasangan berkenaan turut menuntut deklarasi bahawa polis telah melakukan kecuaian dan cuba menafikan hak keperlembagaan pemohon di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, dan memohonperintah mandamus agar responden pertama (KPN) melengkapkan siasatan kematian Beng Hock dalam tempoh sebulan dari tarikh penghakiman.
Hakim Wan Ahmad Farid berkata tuntutan dan relif yang dimohon oleh pemohon adalah dalam bidang undang-undang awam, baik dari segi isi mahupun bentuk.
“Oleh itu, semakan kehakiman adalah cara permulaan yang betul mengikut keadaan,” katanya.
Beliau berkata kelalaian responden pertama, kedua dan ketiga dalam kegagalan mereka untuk melengkapkan siasatan ‘tanpa penangguhan yang tidak perlu’ adalah melanggar Seksyen 120 (1) Kanun Tatacara Jenayah yang oleh itu boleh mewajarkan semakan kehakiman dibenarkan.
“Mahkamah mendapati siasatan tidak dijalankan dengan pantas.
“Dalam keadaan ini, saya membuat perintah dalam bentuk mandamus untuk memaksa responden pertama menyelesaikan siasatan terhadap kematian si mati dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu dibuat di sini,” katanya.
Merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan Teoh Meng Kee yang mendapati bahawa ‘kepentingan ahli keluarga dan kepentingan awam memerlukan kes ini disiasat lebih lanjut oleh pihak berkuasa polis’, Hakim Wan Ahmad Farid berkata adalah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk mengikuti keputusan tersebut dengan mengarahkan siasatan diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
“Kepentingan keadilan menuntut agar kes ini diberi penyelesaian muktamad. Perlu ada penutupan untuk segala-galanya.
“Pemohon sebagai ibu bapa si mati, sama seperti mana-mana rakyat negara ini berhak mendapat keadilan ini. Saya harap mereka mendapatkannya hari ini,”
Dalam permohonan mereka, pasangan itu mendakwa bahawa kertas siasatan telah dihantar berulang kali oleh Pejabat Peguam Negara kepada responden pertama, kedua dan ketiga untuk siasatan lanjut, namun ia masih belum dilengkapkan oleh polis walaupun insiden itu berlaku hampir 15 tahun lepas.
Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Pada 5 Jan 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Rayuah menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial