KANGAR, 8 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 70 bulan dan 10 sebatan terhadap seorang nelayan warga Thailand hari ini selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kanabis seberat 100.04 gram pada Ogos lepas.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid memerintahkan Thanakrit Srichan, 27, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 5 Ogos.
Lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis kanabis di laluan import Pos Kawalan Imigresen, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar pada 5.40 petang, 5 Ogos.
Nelayan terbabit dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis Nurul Idayu Ismail dan Suriati Yahaya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial