KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Suspek kes buli seorang kadet tahun satu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hingga cedera parah akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 pagi.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Arahan untuk pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini 16 saksi telah dipanggil untuk rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 10 Nov lepas, Rusdi dalam kenyataan memaklumkan mangsa berusia 19 tahun mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun tiga.
Kejadian dipercayai berlaku pada 10.45 malam, 21 Okt lepas dan polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 8.40 malam 8 Nov lepas.
Dalam perkembangan lain, polis Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan anggota polis disyaki terlibat dalam kes kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia dalam kereta pada 1 Okt lepas, akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 8 pagi, esok.
Media sebelum ini melaporkan empat anggota polis telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes kecurian barang kemas didakwa milik seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di kawasan parkir sebuah kondominium di Setapak, di sini.
Pada awalnya kes diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP), namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes telah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial