Muar, 8 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan maut setelah terperangkap dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Bukit Bakri di sini malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Baharuddin Ab Rahman berkata mangsa Hein Htet, 26, dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri berikutan api merebak dengan cepat dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 8.28 malam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan dua Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air dengan kekuatan 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 20x70 kaki persegi terbakar dan memusnahkan kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan struktur rumah.
"Bagaimanapun, anggota bomba bertindak pantas memadamkan api menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki, dua breeching, dan empat nozzle air yang dipam daripada lori tangki air, " katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya kira-kira pukul 8.50 malam dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 10.57 malam.
"Kejadian ini masih dalam siasatan untuk menentukan punca sebenar kebakaran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial