Kes Tikam: Khalida Reda Kehilangan Suami, Anak Perempuan Serentak

08/11/2024 04:07 PM

GEORGE TOWN, 8 Nov (Bernama) -- Isteri dan ibu kepada dua beranak yang maut ditikam di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini, semalam, reda dengan pemergian dua orang tersayang.

Hanya mahu dikenali sebagai Khalida, wanita berusia 60-an itu berkata mereka sekeluarga menerima takdir yang menimpa suami dan anak perempuannya itu walaupun sangat sedih serta terkejut dengan kejadian tersebut.

"Saya reda dua nyawa hilang serentak, kita tidak tahu kematian kita macam mana, kita dah tahu kematian mereka macam mana," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Sementara itu, kakak kepada mangsa lelaki, Khadijah Ibrahim, 64, berkata adiknya Zulkifli menghubunginya pada 12.47 tengah hari semalam iaitu beberapa minit sebelum kejadian. 

Menurutnya mereka tidak sempat berbual panjang apabila adiknya memaklumkan perlu memutuskan panggilan kerana mendapat panggilan masuk lain daripada ahli keluarga.

"Waktu dia telefon itu arwah kata dia tengah makan di sebuah kedai di Gelugor, saya macam hairan sebab selama ini dia tidak pernah telefon kalau tengah makan cuma tak sempat cakap panjang, dia kata tak apalah kak, anak dia 'call' masuk dan ada hal sikit dia kata. Saya pun mematikan panggilan, tak fikir apa-apa.

"Selepas beberapa minit saya terima panggilan daripada emak yang maklumkan adik telah meninggal dunia. Saya betul-betul tak percaya sebab baru sangat bercakap dengan dia," katanya.

Beliau berkata Zulkifli yang merupakan bekas tentera kini bekerja sebagai pemandu peribadi dan merupakan anak ketiga daripada 10 beradik.

"Dia adik yang baik, tak pernah tinggi suara dan disenangi keluarga dan kami semua 10 beradik memang rapat. Walaupun sedih, saya dan adik-beradik yang lain reda dengan pemergian arwah kerana orang baik, Allah sayang," katanya yang merupakan anak kedua.

Semalam, seorang lelaki berusia 62 tahun dan anak perempuannya, 30, maut dipercayai ditikam seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu dilihat membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri itu.

Polis kemudian terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba di hadapan lobi lif pangsapuri berkenaan, tiga individu ditemukan terbaring dalam keadaan berdarah termasuk dua daripada mereka disahkan meninggal dunia manakala seorang lelaki berusia 32 tahun cedera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan