Wanita Ditemukan Dalam Peti Sejuk Maut Akibat Kecederaan Di Dada - Polis

21/11/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Laporan awal bedah siasat mayat wanita yang ditemukan dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG di sini, mendapati mangsa meninggal dunia kerana kecederaan pada dada akibat objek tumpul. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata mayat wanita itu juga telah diserahkan kepada suaminya di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata laporan penuh bedah siasat yang boleh membantu menjelaskan garis masa waktu mangsa meninggal dunia dan diletakkan di peti sejuk beku masih belum diperoleh.

“Setakat ini sebanyak sembilan rakaman percakapan telah dibuat bagi membantu melengkapkan siasatan. Kita tunggu laporan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata reman suspek yang juga anak lelaki kepada mangsa disambung tujuh hari hingga 26 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek telah keluar dari PPUM pada 6.15 petang semalam dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Brickfields,” katanya.

Suspek berusia 53 tahun itu ditahan pada 12 Nov lepas, susulan penemuan mayat wanita pada 8.45 pagi dan direman bermula 13 Nov lepas.

Rusdi sebelum ini dilaporkan berkata suspek yang dirawat di PPUM selepas ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis masih menunggu laporan kesihatan daripada pihak hospital serta laporan bedah siasat tehadap mayat mangsa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan