IPOH, 8 Nov (Bernama) -- Ibu bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) boleh bertanyakan keberadaan anak mereka menerusi semakan dengan pihak polis, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Sehubungan itu, beliau berkata tidak timbul soal polis berniat untuk memisahkan atau melarikan kanak-kanak yang diselamatkan itu daripada ibu bapa mereka.
Beliau berkata sejak Op Global dilancarkan pada 11 Sept lepas, polis telah meminta mana-mana ibu bapa terlibat untuk tampil membantu siasatan.
“Dalam konteks kita nak menyelamatkan itu, kita ada prosedur atau proses melibatkan perundangan, termasuk saringan yang dilakukan oleh agensi seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Prosedur JKM sangat ketat, mereka tidak akan membenarkan sesiapa untuk mengambil anak itu tanpa melalui proses penilaian yang amat ketat. Jadi, ini prosedur biasa yang perlu mereka lakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak antara Datuk Azizi Mat Aris dengan Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata ibu bapa yang merasa berlaku ketidakadilan dalam proses siasatan itu, mempunyai hak untuk mengambil tindakan perundangan.
“JKM bukan sahaja mahu pastikan anak-anak ini diserahkan kepada pihak yang betul-betul layak dari segi pertalian kekeluargaan, malah mahu pastikan mereka ini selamat.
“Inilah prosedur yang diguna pakai oleh JKM atas kebimbangan mereka mungkin diberi kepada individu salah dan bukan ibu bapa sebenar, mereka ikut apa yang telah digariskan, itu sahaja,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH memohon agar anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing berikutan sudah lebih sebulan tidak berjumpa.
Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan pihak polis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial