APM Buat Rondaan Lima Kali Seminggu, Pantau 'Hotspot' Banjir, Tanah Runtuh

08/11/2024 08:10 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil langkah proaktif dengan melakukan rondaan di kawasan sering berlaku (hotspot) bencana banjir dan tanah runtuh minimum lima kali seminggu sebagai persiapan menghadapi monsun timur laut (MTL).

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata pasukan pemantau terdiri daripada tiga anggota di setiap daerah di seluruh negara dan mereka bukan saja melaporkan kejadian berpotensi mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, malah melibatkan pencemaran udara dan air.

“Sepanjang 10 bulan ini, kita sudah membuat rondaan lebih 30,000 kali di seluruh negara dan telah melaporkan lebih 2,000 kejadian dipercayai boleh memberi ancaman pada orang ramai,  kepada pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus ketika memberi taklimat dalam sesi berkenaan memaklumkan terdapat 4,619 lokasi banjir telah dikenal pasti di seluruh negara.

Beliau berkata ia melibatkan 3,605 lokasi di Semenanjung, 799 di Sabah, 201 di Sarawak dan 14 lokasi panas di Labuan.

Khairul Shahril berkata lokasi itu berdasarkan kawasan yang mengalami kekerapan tidak kurang daripada tiga kali kejadian banjir dalam tempoh tiga tahun terkini.

“Selain itu, kita turut membuat pemantauan cerun kritikal membabitkan 254 cerun di seluruh negara terdiri daripada 86 kritikal tinggi, 84 kritikal sederhana dan 84 kritikal rendah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan