Cinta Ditolak Punca Wanita Dan Bapanya Maut Ditikam

11/11/2024 04:24 PM

GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -- Angkara cinta ditolak disahkan menjadi motif seorang wanita dan bapanya maut ditikam seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini Khamis lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini berkata siasatan mendapati suspek menaruh perasaan terhadap wanita berusia 30 tahun itu tetapi mangsa tidak membalas cintanya.

Beliau berkata semakan mendapati suspek yang berumur 32 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan suspek kini direman hingga 14 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 7 Nov lepas, seorang lelaki berumur 62 tahun dan anak perempuannya maut dipercayai ditikam seorang lelaki yang sebelum itu dilihat membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri berkenaan.

Sementara itu merujuk kepada kejadian seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Farlim, kira-kira pukul 11.45 malam, Sabtu lepas, Lee berkata teman lelaki dan kakak angkat remaja itu telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patologi.

Beliau berkata kedua-dua mereka yang merupakan penganggur berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan selepas saringan air kencing didapati positif dadah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan