PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyemak dan menjalankan siasatan berhubung aliran tunai yang diterima pasangan pengasas platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Azam yang mengesahkan kehadiran pasangan itu ke Ibu Pejabat SPRM di sini bagi memberikan keterangan hari ini, berkata pihaknya masih dalam proses mendapatkan penjelasan tentang kaedah penerimaan dan perbelanjaan pelaburan yang diterima daripada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
“Siasatan masih berjalan dan semakan sedang dibuat terhadap pasangan ini berhubung jumlah wang (pelaburan) yang diterima daripada Khazanah dan PNB,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Azam berkata setakat ini pihaknya telah merekodkan keterangan sembilan saksi termasuk pasangan itu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Beliau juga tidak menafikan kemungkinan pasangan itu akan hadir semula pada hari berikutnya bagi menyambung proses rakaman keterangan kepada SPRM.
“Saya tidak nafikan esok, lusa akan dipanggil lagi sebab siasatan masih dijalankan,” katanya.
Azam turut memaklumkan setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kesemua saksi memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
Terdahulu, kenderaan membawa pasangan itu tiba di ibu pejabat SPRM pada 2.30 petang dan setakat 8 malam masih belum terdapat pergerakan keluar.
Hari ini memasuki hari kelima proses rakaman keterangan dijalankan terhadap pasangan itu, setelah SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata siasatan pihaknya ketika ini menjurus ke arah mengenal pasti aset dan pemilikan serta sumber kewangan yang diperoleh pasangan pengasas FashionValet itu.
Media pada Khamis lepas melaporkan kira-kira 60 kotak dokumen kewangan yang dirampas daripada FashionValet, Khazanah dan PNB perlu dikaji secara menyeluruh terutama berkaitan perjanjian antara ketiga-tiga pihak itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial