SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) -- Polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kes beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang selepas proses kutipan dilakukan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point, Ampang, Rabu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan polis mendapati kes itu lebih berbentuk kecuaian dari aspek pengendalian ketika menutup pintu van, bukannya satu komplot untuk mencuri atau merompak wang terbabit.
"Ia kes tulen, benda (beg berisi wang) terjatuh dan kita tidak dapat mengesan sebarang unsur jenayah sama ada dalam bentuk untuk dicuri atau dirompak wang berkenaan.
"Bukan satu komplot tetapi lebih kepada kecuaian, dan untuk tindakan lanjut, kertas siasatan berhubung kes ini telah diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan susulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hussein berkata kes disahkan tidak mempunyai unsur jenayah berpandukan keterangan daripada beberapa saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Keterangan dan rakaman itu bermula dari lokasi wang itu dikutip dari sebuah bank di Ampang Point serta laluan van keselamatan termasuk di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) sehingga ke destinasi terakhir iaitu di sebuah bank di Kuala Lumpur, iaitu lokasi dua pengawal keselamatan yang menaiki van itu menyedari pintu kenderaan di bahagian belakang terbuka dan satu beg telah hilang.
Beliau berkata dua pengawal keselamatan terbabit yang sebelum ini ditahan di Ampang pada 10 malam hari kejadian bagi membantu siasatan juga telah dibebaskan dengan jaminan polis pada dua hari lepas.
"Wang berkenaan berada dalam simpanan polis dan pihak kami kini menunggu keputusan DPP sebelum beg berisi wang tunai berjumlah RM1,071,000 itu dipulangkan kepada pemiliknya," katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan berhubung kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta di Ampang Point, pada Rabu sebelum beg itu dijumpai pada hari sama di AKLEH oleh orang awam ketika melalui lokasi berkenaan.
Beg itu dipercayai terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui kawasan selekoh di laluan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial