Anggota Polis Didakwa Curi Rantai Leher, Rantai Tangan Milik Wanita Yang Meninggal Dunia

22/11/2024 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik seorang wanita yang meninggal dunia dalam sebuah kereta, bulan lepas.

Lans Koperal Mohd Alifah Mohd Sapie, 35, didakwa mencuri seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik seorang wanita berusia 26 tahun di dalam sebuah kereta di tepi jalan Prima Setapak, Wangsa Maju di sini pada 2.40 pagi, 1 Okt lepas. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Vivi' Asnita Zaina' larifin tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mohon jaminan yang tinggi dikenakan kepada tertuduh.

Peguam R. Lavinia yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk isteri dan lima anak. 

Majistret M. S. Arunjothy kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan kes. 

Media sebelum ini melaporkan bapa wanita itu yang merupakan bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan polis selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.

– BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan