Polis Belum Terima Laporan Perubatan Mangsa Buli UPNM

13/11/2024 11:14 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Polis belum menerima laporan perubatan melibatkan kes seorang kadet tahun satu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera parah di rusuk dan belakang badan akibat dipijak pelajar senior akademi berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kertas siasatan kes berkenaan juga sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan laporan perubatan masih belum diperoleh, setakat hari ini seramai 13 individu telah dirakam keterangan termasuk suspek berusia 22 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 10 Nov lepas Rusdi dalam kenyataan memaklumkan mangsa berusia 19 tahun yang juga penuntut tahun satu, mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun tiga, dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 10.45 malam, 21 Okt dan polis  menerima laporan berkaitan insiden itu pada 8.40 malam, 8 Nov.

Pada Isnin lepas suspek kes berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk memberikan keterangan dan dibenarkan pulang selepas selesai urusan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan