Sindiket Penyeludupan Migran Warga Indonesia Tumpas

13/11/2024 11:42 AM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan migran warga Indonesia menerusi satu operasi khas pada Isnin lepas di sekitar Kajang, Selangor.

Operasi yang bermula pada 6 petang itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan  maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan mengekori sebuah kenderaan yang mencurigakan.

“Pasukan operasi telah menahan kenderaan terbabit di sebuah premis kediaman yang dijadikan ‘rumah penampungan’ dan berjaya menahan seorang lelaki Indonesia yang dikenali sebagai ‘Jon’ disyaki sebagai transporter berumur 42 tahun.

“Pasukan operasi turut melakukan pemeriksaan terhadap premis kediaman berkenaan dan berjaya menahan dua ahli sindiket merupakan lelaki Indonesia, disyaki sebagai penjaga premis berumur 20 dan 41 tahun,” katanya.

Turut ditahan, 21 lelaki dan lima wanita Indonesia berusia antara 21 hingga 50 tahun dengan jumlah keseluruhan yang ditahan adalah sebanyak 29 orang.

Zakaria berkata semakan awal mendapati 13 warga Indonesia telah tinggal lebih masa manakala warga Indonesia yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi telah merampas 14 naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM13,430 dan menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipercayai untuk mengangkut pendatang tanpa izin,” katanya.

Modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk dan keluar warga Indonesia melalui pintu masuk yang tidak diwartakan, dan mereka akan ditempatkan sementara di sebuah "rumah penampungan" sebelum dibawa ke lokasi tertentu menggunakan kenderaan.

Beliau berkata sindiket itu mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang dan telah beroperasi selama enam bulan.

Seorang lelaki Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala dua lelaki lagi ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26H akta berkenaan.

“Kesemua migran Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan