Kurung Kanak-kanak Dalam Sangkar Kucing, Ibu Dan Rakan Dipenjara Tiga Tahun

13/11/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Seorang ibu dan rakan wanitanya dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengurung seorang kanak-kanak lelaki di dalam sangkar kucing, Februari lepas. 

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang pekerja restoran makanan segera berumur 20 tahun yang juga ibu mangsa dan suri rumah Adibah Mohd Zaini, 35, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan mereka turut dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran selain diperintah untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun enam bulan dengan cara memasukkannya ke dalam sangkar kucing yang perbuatan terbabit boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap mangsa di sebuah pangsapuri di Taman Danau Desa, Brickfields di sini pada 8.16 malam, 10 Feb.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Ibu mangsa turut dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan menganiaya anaknya itu dengan membalut mangsa menggunakan pita pelekat di lokasi sama pada 3.58 petang, 21 Feb mengikut seksyen serupa.

Hakim Siti Shakirah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bagi kedua-dua pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira bahawa sebagai ibu kepada mangsa, dia perlu ada rasa tanggungjawab untuk menjaga anaknya itu daripada sebarang bahaya.

“Mohon mahkamah mengambil kira semua ekshibit yang telah dikemukakan terutamanya gambar kanak-kanak terbabit yang telah dimasukkan ke dalam sangkar kucing yang bukan untuk kegunaan manusia,” katanya.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia menyesal dengan perbuatannya dan Adibah yang tidak diwakili peguam turut memohon hukuman ringan kerana perlu menjaga dua anak berusia setahun dan 11 tahun.

“Saya menyesal atas perbuatan dilakukan. Selepas berada di dalam lokap, ia telah memberi keinsafan kepada saya. Saya berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama,” kata Adibah sambil menangis.

Isnin lepas, Bernama melaporkan ibu mangsa, Adibah dan seorang lagi rakan mereka Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 25, dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menendang kanak-kanak lelaki itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan