KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Gara-gara enggan membayar denda kerana kehilangan kad pengenalan, seorang jurujual berusia 25 tahun ditahan selepas membuat laporan polis palsu mengatakan disamun.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata kejadian samun seperti didakwa lelaki tempatan itu didapati tidak berlaku selepas soal siasat dilakukan terhadapnya apabila dia membuat laporan polis.
“Suspek mendakwa semasa berjalan kaki di Jalan USJ 14/1D Subang Jaya pada kira-kira 1 pagi semalam, dua lelaki menaiki motosikal menyamunnya menggunakan pisau menyebabkan kerugian anggaran RM200,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Wan Azlan berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan di Mahkamah Shah Alam esok.
“Pihak polis meminta orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana ia kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial