KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM130,000 daripada beberapa kontraktor melibatkan projek naik taraf dan penyelenggaraan tandas sekolah di negeri ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah di sini antara 7 dan 10 malam semalam.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun lepas dengan meminta rasuah sebanyak 30 peratus daripada nilai projek dan disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor terbabit secara tunai dengan beberapa kali bayaran.
“SPRM turut merampas kira-kira RM90,000 wang tunai dan menyita dua buah kenderaan mewah yang dibeli hasil daripada wang rasuah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan seorang suspek direman enam hari bermula hari ini manakala seorang lagi dijangka dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah selesai memberikan keterangan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.
Karunanithy turut menyeru kepada kontraktor yang pernah memberi wang suapan kepada mana-mana penjawat awam berkaitan apa juga projek untuk tampil memberikan maklumat kepada SPRM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial