PGA Rampas Barangan Makanan Sejuk Beku Bernilai RM30,000 Disyaki Barang Seludup

18/11/2024 02:20 PM

KOTA BHARU,18 Nov (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas barangan makanan sejuk beku dipercayai barang seludup bernilai RM30,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Gual Pasong Hantu di Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata lelaki berumur 56 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Taring Wawasan Kelantan oleh anggota Batalion 8 pada 12.30 tengah hari, selepas pasukan itu menemukan pelbagai bungkusan plastik mengandungi makanan sejuk beku dipercayai diseludup dari Thailand di rumah berkenaan.

“Rampasan dianggar bernilai RM30,000 dan kes disiasat di bawah Sekayen 4(1) Akta Makanan 1983, manakala barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Nik Ros Azhan berkata anggota Batalion itu turut menahan dua lelaki berusia 26 dan 31 tahun, dan merampas 60 kotak minyak masak bernilai RM2,550 dipercayai cuba diseludup ke Thailand, selepas memeriksa sebuah Proton Waja di Banggol Setol, Pasir Mas pada 6.30 petang semalam.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah dan kes diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan