Kontraktor Perkhidmatan Kereta Api Didenda RM10,000 Gagal Patuh Notis Arahan JAS

18/11/2024 08:30 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Bernama) -- Sebuah syarikat kontraktor perkhidmatan kereta api yang beroperasi di daerah Marang hari ini didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana gagal mematuhi notis arahan dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, tahun lepas.

Syarikat berkenaan yang diwakili seorang petugasnya mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli. 

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati gagal mengambil sebarang langkah bagi mengurangkan pencemaran iaitu dengan memastikan roda-roda jentera dan kenderaan yang keluar dari tapak projek dibersihkan terlebih dahulu sebelum memasuki jalan awam.

Notis itu bertujuan mengurangkan impak pencemaran habuk dan debu terhadap orang awam, namun ia gagal dipatuhi syarikat berkenaan pada 4 Okt 2023, sekali gus berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 31(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa JAS Terengganu Yusnalis Yusoff berkata kegagalan memastikan pengawalan pencemaran udara terhasil daripada roda jentera dan kenderaan yang keluar dari tapak projek menunjukkan sikap kurang prihatin syarikat terhadap notis dikeluarkan JAS pada 23 Ogos 2023.

"Justeru pohon mahkamah mengenakan satu hukuman denda yang sewajarnya ke atas syarikat bagi memberi pengajaran untuk mengambil berat ke atas penjagaan alam sekitar pada masa hadapan," katanya.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin berkata kesalahan mencemarkan alam sekitar adalah serius dan syarikat berkenaan seharusnya mengutamakan kepentingan awam berbanding syarikat. 

Beliau kemudian menetapkan denda RM10,000 ke atas kontraktor terbabit yang tidak diwakili peguam selain memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan