Lelaki Dipercayai Sakit Mental Serang Polis Di Surau Ditahan

19/11/2024 04:47 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan yang mempunyai rekod rawatan psikiatri ditahan kerana menyerang dua anggota polis di sebuah surau di Kangkar Pulai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata kejadian pada 1 tengah hari itu berlaku ketika anggota dari Balai Polis Kangkar Pulai yang berumur 33 dan 59 tahun hendak menunaikan solat berjemaah.

"Dua anggota berkenaan diserang dan dipukul suspek yang berusia 28 tahun itu, menyebabkan seorang daripadanya cedera di muka, kaki dan tangan kanan.

“Suspek kemudian diberkas di lokasi kejadian oleh dua anggota polis berkenaan dan anggota polis yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan, dan siasatan awal mendapati suspek turut mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah dan dua kesalahan berkaitan dadah.

Kumarasan berkata keputusan ujian air kencing mendapati individu itu negatif dadah dan dia kini direman selama empat hari bermula hari ini dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan