SIBU, 20 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki dijatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membantu menjalankan perniagaan pinjaman wang secara haram.
Joseph Lau, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Oon Kork Chern.
Pertuduhan mengikut Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan Lau didakwa membantu seorang pemberi pinjam wang dikenali sebagai 'Apeng' yang masih bebas, menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen pada 25 Julai 2021, kira-kira 5 petang, di hadapan sebuah rumah di Lorong Lada 18E.
Mengikut fakta kes, pada Julai 2021 seorang pengadu telah membuat pinjaman sebanyak RM20,000 daripada tertuduh.
Pengadu telah membuat pembayaran bermula Ogos 2021 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000 ke dalam akaun bank tertuduh namun walaupun pinjaman itu sudah diselesaikan, tertuduh terus memaksa pengadu untuk membuat pembayaran.
Pada 30 Sept 2023 kira-kira pukul 2 pagi pengadu telah dihubungi oleh ibunya mengatakan ada individu membakar sesuatu di hadapan pintu pagar rumah mereka.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan pada 9.20 malam 6 Nov 2024, polis telah menahan tertuduh di hadapan premis restoran makanan segera di Jalan Ulu Oya.
Semakan dengan Pejabat Residen Bahagian Sibu mendapati tertuduh tidak mempunyai lesen bagi menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang.
Lau yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman minimum memandangkan dia terpaksa menjaga orang tuanya yang sakit selain ia kesalahan pertamanya.
Timbalan Pendakwa Raya Aiman Zarith Zahrullail memohon lelaki itu dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada yang lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial