KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Tindakan pantas seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menyelamatkan empat remaja daripada lemas selepas sampan dinaiki mereka ketika memancing, karam di sebuah tasik di Puncak Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Mohd Nor Khalid yang bertugas di Kem Sungai Buloh sebelum itu melalui kawasan terbabit sebelum menyedari kejadian berkenaan dan terus bertindak menyelamatkan keempat-empat remaja yang kesemuanya berusia 13 tahun itu.
Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 12.30 tengah hari sebelum bertindak menghubungi Balai Bomba Bukit Jelutong dan menghantar kereta peronda ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa menggunakan sebuah sampan yang terdampar di tepi tasik untuk memancing sebelum ia karam di tengah tasik.
"Pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih atas tindakan pantas Mohd Nor atas pertolongan yang dihulurkan dalam menyelamatkan empat remaja itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz turut menasihati semua ibu bapa untuk sentiasa mengawasi anak-anak bagi mengelakkan insiden sebegini berulang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial