Polis Tahan Pasangan Kekasih, Rampas Dadah Lebih RM3 Juta

25/11/2024 04:42 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan dan wanita warga asing yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa, dan merampas dadah bernilai RM3.3 juta dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan di Sekinchan, Sabak Bernam pada 21 Nov lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dalam kejadian pada kira-kira 5 petang itu, kedua-dua suspek dipercayai pasangan kekasih itu ditahan bersama tiga peket plastik berisi dadah dipercayai jenis syabu seberat 83.15 gram.

Beliau berkata suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di sekitar Sungai Air Tawar dan menemukan 91 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 94.96 kilogram (kg) di dalam bonet sebuah kereta di lokasi terbabit.

“Polis percaya pasangan yang berperanan sebagai penghantar (transporter) dan penjaga stor itu mendapat bekalan dadah dari utara tanah air sebelum dihantar ke Indonesia melalui jalan laut dengan bayaran RM140,000 bagi satu penghantaran. 

“Hasil ujian air kencing terhadap pasangan yang dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah sejak tiga bulan lepas itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Khaw berkata semakan mendapati suspek lelaki yang telah berkahwin dan bekerja sebagai mekanik itu mempunyai dua rekod jenayah dan lima rekod membabitkan kesalahan dadah. 

Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama enam hari di bawah Seksyen 117 bermula 22 hingga 27 Nov dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Dalam masa sama, beliau berkata JSJN sentiasa bekerjasama rapat dengan polis Indonesia bagi membanteras isu berkaitan dadah dan pertukaran maklumat dalam usaha memerangi jenayah itu. 

"Kita sentiasa bekerjasama dengan polis Indonesia sama ada dalam kes ini atau kes-kes lain,” katanya dan menambah beliau bersama pasukan akan bertemu dengan pihak berkuasa negara itu bagi membincangkan perkara berkaitan pada 27 hingga 30 Nov ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan