Penjawat Awam Maut Kemalangan Di LPT2

26/11/2024 01:49 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Nov (Bernama) -- Seorang penjawat awam maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 306.3 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) kira-kira 6 pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata Mohd Noor Yunus, 37, ketika kejadian memandu dari arah Kuala Terengganu menuju ke tempat kerjanya di Kemaman.

“Setibanya di lokasi, kenderaan jenis Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar binaan tersebut.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu apabila besi penghadang berkenaan menembusi bahagian hadapan keretanya,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Hanyan berkata Mohd Noor maut di lokasi kejadian berikutan cedera parah pada kepala dan anggota badan. 

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh Khairulhasni Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 6.12 pagi sebelum sepuluh anggota dikerahkan ke lokasi untuk kerja penyelamatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan