Polis Tahan 361 Individu Terlibat Kegiatan Along Dalam Operasi Khas Sembilan Hari

27/11/2024 11:02 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Polis menahan 361 individu disyaki terlibat dalam kegiatan along atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen menerusi operasi khas serentak di seluruh negara selama sembilan hari bermula 4 Nov lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka yang berusia lingkungan 18 hingga 77 tahun itu berperanan sebagai pemberi pinjam wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, ejen pengeluar wang, pemilik akaun keldai, ejen simbah cat dan pengedar risalah serta banting iklan.

“Hasil serbuan, polis merampas barangan dan dokumen disyaki berkaitan dengan aktiviti along antaranya komputer, lesen perniagaan syarikat, 1,439 keping kad pinjaman, cop syarikat, 247 fail maklumat peminjam dan wang tunai RM12,994,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di sini, semalam.

Beliau berkata 136 kertas siasatan dibuka berkait kesemua tangkapan tersebut dan sehingga kini 25 kertas siasatan melibatkan 41 individu yang ditahan telah dituduh di mahkamah, manakala bakinya masih disiasat di bawah Seksyen 5(2), Seksyen 29AA dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Pengarah JSJK itu berkata pada tahun 2021 polis telah merekodkan 977 kes berkaitan kegiatan along, dan jumlah itu meningkat kepada 989 kes pada tahun 2022, dan 1,162 kes tahun lepas, manakala tahun ini, sehingga Oktober lepas polis telah merekodkan 777 kes berkaitan kegiatan along.

Sementara itu Ramli berkata sekitar awal buylan ini seorang wanita berusia 55 tahun kerugian RM1.1 juta selepas menerima panggilan kononnya daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang mendakwa nombor telefon dan akaun banknya digunakan dalam kegiatan pengubahan wang haram sekitar Kuching, Sarawak.

Beliau berkata wanita itu diarah lelaki yang mengaku pihak berkuasa untuk memindahkan wangnya ke satu akaun lain, kononnya bagi tujuan siasatan, dan selepas dia membuat 34 pindahan wang ke sembilan akaun berbeza antara 24 Sept dan 5 Nov lepas, wanita itu baru sedar kemungkinan dia ditipu.

"Melalui kes ini, dapat dilihat bagaimana pihak sindiket secara berterusan memberi tekanan kepada mangsa melalui arahan untuk melapor diri selain ditegah bercerita kepada orang lain berkaitan kes tersebut.

"Penting juga untuk masyarakat tahu, laporan polis tidak boleh dibuat melalui panggilan telefon dan siasatan juga tidak dijalankan melalui panggilan telefon, sekali lagi kami nasihatkan supaya jangan percaya langsung bahawa pemanggil adalah pegawai polis,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan