28,377 Kes Jenayah Komersial Direkod Setakat November, Kerugian Lebih RM2.5 Bilion

27/11/2024 11:39 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 28,377 kes jenayah komersial direkodkan di seluruh negara sejak awal tahun hingga 24 Nov lepas, melibatkan kerugian lebih RM2.5 bilion, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan purata kes direkodkan dalam sehari adalah 86 membabitkan nilai kerugian harian RM7.6 juta.

Ramli berkata jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun lima peratus berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatatkan sejumlah 29,829 kes, namun nilai kerugian menunjukkan trend berbeza, dengan peningkatan 37 peratus berbanding tahun lepas, mencatatkan nilai kerugian RM1.82 bilion.

Beliau berkata 45 peratus atau 12,805 kertas siasatan berjaya dituduh mahkamah setakat ini bagi tahun 2024, dan peratusan pertuduhan itu lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan 42 peratus atau 12,565 pertuduhan daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka.

“Alhamdulillah… Diharapkan momentum ini dapat terus dikekalkan melalui usaha secara bersama antara masyarakat dan polis,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai pindaan Kanun Keseksaan atau Akta 574 dan peruntukan baharu di bawah Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah yang diwartakan dan berkuat kuasa pada 30 Okt lepas, Ramli berkata ia dapat menjadikan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak terlibat dengan kegiatan keldai akaun.

Beliau berkata menerusi peruntukan baharu di bawah Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah itu, pegawai polis yang berpangkat tidak kurang daripada Sarjan diberikan kuasa untuk menyekat transaksi mencurigakan di mana-mana bank atau institusi kewangan. 

“Peruntukan baharu ini telah diluluskan oleh Dewan Negara pada Julai dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bulan September lepas.

"Jangan sesekali memberikan kebenaran orang lain menggunakan akaun anda atas apa-apa alasan sekalipun, kerana jika terbabit dengan kegiatan keldai akaun, hukuman yang menanti adalah berat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan