Banjir: Guna Bot APM Hantar Jenazah Ke Kubur

27/11/2024 08:16 PM

KUALA KRAI, 27 Nov (Bernama) -- Jenazah warga emas dari Taman Sri Nal di sini terpaksa dibawa menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejauh satu kilometer untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Jong petang tadi berikutan kawasan penempatan itu dilanda banjir sejak semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai Kapt Abd Fatah Abd Aziz berkata pasukannya menerima panggilan kecemasan daripada penghulu mukim Batu Jong yang meminta bantuan membawa jenazah Faizah Ismail, 78, untuk dikebumikan, pada 1.26 tengah hari.

"Pasukan penyelamat tiba di rumah arwah di Taman Sri Nal pada 2.15 petang sebelum jenazah dibawa menggunakan sebuah kenderaan jenis Land Rover ke tanah perkuburan kira-kira lima kilometer dari rumah arwah.

"Bagaimanapun, ketika tiba di simpang Jenal pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bot pula ke tanah perkuburan sejauh satu kilometer kerana kawasan itu dinaiki air sedalam dua meter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan penyelamat tiba di tanah perkuburan pada 2.30 petang dan turut membantu urusan pengebumian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan