ALOR GAJAH, 28 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki orang kena tahan (OKT) warga Indonesia yang lolos ketika berada di Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada hari Isnin lepas, berjaya ditahan semula pukul 6.10 petang semalam di sebuah kebun durian di Taman Melaka Pindah di sini.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan pihak berkuasa dalam Ops Kesan yang melibatkan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia, pasukan Gerakan Am Batalion Enam dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Bertindak atas maklumat yang diterima, pasukan serbuan telah ke kebun durian berkenaan bagi mengesan suspek, dan menemukan lelaki yang tidak pasti identitinya sebelum mengarahkannya berhenti.
“Bagaimanapun suspek enggan berhenti serta cuba melarikan diri, dan berlaku pergelutan dalam proses menangkap suspek kerana dia enggan memberi kerjasama, menyebabkan dia mengalami bengkak di muka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata suspek kemudian diarah menunjukkan kad pengenalan diri untuk diperiksa namun gagal mengemukakannya, serta mengaku bahawa dirinya ialah Musliadi Arahman dari Indonesia berusia 38 tahun.
Md Nazri berkata suspek ditahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Isnin lepas polis Melaka melancarkan operasi Op Kesan bagi memburu seorang lelaki warga asing yang melarikan diri dengan tangan bergari dari Kompleks Mahkamah Alor Gajah di sini.
Lelaki itu dibawa ke mahkamah oleh anggota JKDM untuk sebutan semula kesnya yang dituduh mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial