Peniaga Rugi Lebih RM14,000, Terperdaya Sindiket Penipuan Di Facebook

02/12/2024 12:16 PM

JEMPOL, 2 Dis (Bernama) -- Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM14,274 akibat diperdaya oleh sindiket penipuan di laman sosial, Facebook di Taman Abu Bakar, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mangsa berusia 54 tahun itu telah melihat iklan di Facebook mengenai penjualan barang seperti susu dan tepung dengan harga yang murah. 

Beliau berkata pengadu berminat dengan tawaran tersebut, lalu menekan pautan dalam aplikasi dan mengisi butiran peribadi termasuk nombor akaun serta nombor pin dalam aplikasi itu.

"Selepas itu, sejumlah wang daripada akaun bank milik pengadu dipindahkan tanpa kebenaran, iaitu RM5,000, RM5,100, RM2,200, dan RM1,974.55 ke akaun serta platform lain. Pengadu menerima makluman daripada pihak bank bahawa wangnya telah dipindahkan ke beberapa akaun, termasuk ke TNG eWallet dan nama lain yang dinyatakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hoo berkata pengadu kemudiannya berasa ditipu lalu membuat laporan di balai polis kemudian sebaik laporan diterima pihaknya membuat semakan di Semak Mule bagi akaun bank terlibat.

“Usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan talian telekomunikasi yang digunakan melalui Portal MCMC, Mobile Number Portability (MNP) dan permohonan mendapatkan penyata akaun bank pengadu dan suspek di Portal Commercial Crime Intelligence System (CCIS)," katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan