KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan menumpukan kepada 799 kawasan 'hotspot' banjir di seluruh negeri ini, kata pengarahnya Jainal@Zainal Madasin.
Beliau berkata sebanyak 1,340 pegawai dan anggota di seluruh 27 balai bomba di Sabah akan dikerahkan untuk bersedia menghadapi MTL.
"Di Sabah belum berlaku banjir besar seperti di Kelantan, namun ini baru peringkat awal musim Monsun Timur Laut dan kita perlu bersiap sedia, antara persediaan yang kita buat termasuk membekukan cuti pegawai dan anggota," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Bomba Sabah di sini hari ini.
Jainal yang juga bekas Pengarah Bomba Kelantan dan merupakan anak jati Putatan menggantikan Farhan Sufyan Borhan yang kini dilantik sebagai Pengarah Bomba Kelantan.
Mengulas mengenai tanggungjawab baharu sebagai Pengarah JBPM Sabah, Jainal berkata beliau akan meneruskan semua rancangan yang dilakukan pengarah sebelum ini.
"Terima kasih kerana banyak usaha dilaksanakan pengarah sebelum ini seperti kita sudah ada balai bomba di atas air dan kita juga ada balai di Gunung Kinabalu.
"Apa yang saya perlu buat ialah memantapkan apa yang ada termasuk mempercepat lagi (tempoh maklum balas) ke lokasi insiden," katanya.
Beliau berkata untuk mencapai hasrat berkenaan pihaknya akan mengkaji mana-mana lokasi baharu yang sesuai untuk pembinaan dan memerlukan balai bomba baharu.
"Ada dua balai bomba sedang dibina iaitu di Merotai dan Pitas yang dijangka beroperasi awal tahun depan," katanya sambil menambah terdapat banyak lagi lokasi memerlukan balai bomba berikutan jaraknya jauh dari balai bomba sedia ada seperti di kawasan perindustian Kota Kinabalu (KKIP) Sepanggar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial