DUA RAKAN DIDAKWA LAKUKAN ROMPAKAN BERKUMPULAN GUNA PARANG

12/12/2024 06:06 PM

BUTTERWORTH, 12 Dis (Bernama) -- Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata, minggu lepas.

K. Sreedharan Naidu, 33, dan J. Moohilan Naidu, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mereka didakwa secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta Syed Jamalludin Syed Hamid, 57, dengan merompak kereta jenis Honda Accord dan wang tunai berjumlah RM54,000, dengan mengacukan parang.

Kesalahan didakwa berlaku di Persimpangan Taman Bukit Kecil, dekat sini, pada 12.30 tengah hari, 6 Dis dan kes dikemukakan di bawah Seksyen 396 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan merupakan kesalahan tidak boleh dijamin. 

Namun, peguam mewakili kedua tertuduh, S. Morgan memohon jaminan diberikan dengan alasan kedua-dua tertuduh, yang masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan kelindan lori, sudah berkahwin serta mempunyai anak yang kecil. 

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Jan depan sebagai tarikh serahan dokumen dan membenarkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan