JOHOR BAHRU, 15 Dis (Bernama) -- Sebanyak 79 individu termasuk 11 wanita warga asing ditahan di sebuah pusat hiburan yang beroperasi melebihi masa ditetapkan di bandar raya ini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata operasi khas dijalankan kira-kira 2.30 pagi itu melibatkan empat pegawai dan 26 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor Bahru Selatan.
Beliau berkata hasil saringan awal air kencing mendapati 63 lelaki dan empat wanita tempatan serta 11 wanita warga asing itu positif dadah jenis methamphetamine, tetrahydrocannabinol (THC), ketamine dan benzodiazepines (benzo).
"Kesemua mereka yang ditahan termasuk seorang individu yang menjadi juruwang di pusat hiburan berkenaan, berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan sah, namun telah beroperasi melebihi masa ditetapkan," katanya dalam kenyataan.
Kumar berkata hasil pemeriksaan di dalam premis turut menemukan 2.07 gram dadah jenis ketamin melibatkan tangkapan empat lelaki tempatan dan empat wanita warga asing di dalam dua bilik berasingan.
Kesemua mereka direman dua hingga enam hari hingga esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98; Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63; dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963/63.
"Pada masa sama, kita berharap agar masyarakat akan terus menyalurkan sebarang maklumat termasuk berkaitan kegiatan pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial