MELAKA, 17 Dis (Bernama) -- Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua remaja lelaki, tahun lepas.
S. Vinudharan, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian Erwan Idris dan Putra Norsyaqir Putrawirawan yang masing-masing berusia 16 tahun di Jalan Krubong Permai, Melaka Tengah pada 9.53 malam, 24 Dis 2023.
Vinudharan dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun dari tempoh sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajib mencadangkan dia diikat jamin RM16,000 namun peguam MX Koh yang mewakili Vinudharan merayu agar jumlah itu dikurangkan atas faktor anak guamnnya mempunyai tanggungan dan berpendapatan RM160 sehari.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Jan depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial