Polis Kelantan Tahan Tiga Warga Tempatan Rentas Sempadan Malaysia-Thailand Secara Haram

18/12/2024 11:33 AM

KOTA BHARU, 18 Dis (Bernama) -- Tiga lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki keluar masuk sempadan Malaysia-Thailand, di Kelantan melalui laluan yang tidak diwartakan di pangkalan haram Pohon Jambu, di Rantau Panjang, Pasir Mas, Isnin lepas.

Komander Beiged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata ketiga-tiga suspek berusia 30-an itu ditahan pada kira-kira 4 petang oleh sepasukan anggota Batalion 9 menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Beliau berkata suspek yang ditahan merupakan dua penumpang serta seorang pemandu bot yang cuba melarikan diri dan hasil pemeriksaan ke atas mereka tidak menemukan sebarang yang menyalahi undang-undang.

“Suspek ditahan bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, polis Kelantan menegaskan akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan