Polis P.Pinang Tahan 1,757 Dalam 1,411 Operasi Op Dadu

18/12/2024 02:15 PM

KEPALA BATAS, 18 Dis (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menjalankan 1,411 operasi menerusi Ops Dadu melibatkan pelbagai kegiatan perjudian di negeri itu sepanjang tempoh 11 bulan tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata 1,757 indidivu ditahan dalam serbuan berkenaan dan pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM303,000.

"Serbuan paling banyak ialah loteri awam harian iaitu 1,019 operasi dan seramai 1,024 orang ditahan bersama wang tunai kira-kira RM86,000 diikuti judi dalam talian (JOL) sebanyak 324 serbuan dan 414 tangkapan serta wang tunai sekitar RM85,700 dirampas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang di dataran stor barang kes berpusat Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara (SPU) di Jalan Kedah di sini yang turut dihadiri Ketua JSJ negeri SAC Zailani Amit.

Mohd Alwi berkata pihaknya juga berjaya menumpaskan enam pusat panggilan dengan menahan 33 individu serta merampas wang tunai RM4,623 manakala bagi kes judi dalam bangunan, 18 serbuan dilakukan melibatkan tangkapan 144 orang dan rampasan RM72,639 selain pelbagai peralatan dan peranti elektronik sepanjang operasi.

Beliau berkata polis Pulau Pinang akan terus menjalankan pemantauan dan operasi secara berterusan bagi menangani kegiatan perjudian di negeri itu.

Mohd Alwi turut menafikan pihaknya memberikan perlindungan kepada sindiket penjudian seperti dimuat naik sebuah laman Telegram malah sentiasa menjalankan operasi dengan kerjasama agensi lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak berkuasa tempatan. 

Menurutnya antara langkah diambil untuk membanteras kegiatan itu termasuk menyekat laman sesawang perjudian dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan bekerjasama dengan syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat bekalan air untuk memotong bekalan di premis sindiket.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan