KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) bersama wakil daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kes Batu Puteh.
Jurucakap gabungan itu Shahbudin Embun berkata pihaknya memohon polis untuk menyiasat sama ada tindakan bekas Perdana Menteri itu yang tidak meneruskan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), melibatkan unsur kelalaian, salah guna kuasa atau tidak mematuhi prosedur.
“Keputusan ini telah memberi implikasi besar kepada kedaulatan negara kerana Malaysia telah kehilangan hak untuk mempertahankan Batu Puteh.
“Saya percaya rakyat Malaysia berhak mengetahui mengapa keputusan ini dibuat secara unilateral dan siapa yang bertanggungjawab sepenuhnya atas kehilangan peluang untuk mencabar keputusan ICJ terbabit,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam laporan yang diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Dis lepas, mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Suruhanjaya itu berpendapat Dr Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri ketika itu untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas, permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.
Dalam pada itu, Shahbudin berkata pada Ahad lepas NGO itu juga telah membuat satu laporan polis berkenaan tindakan seorang penulis blog yang didakwa telah menghina dan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam media sosial.
“Sejak akhir-akhir ini, dia membuat kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima kedua-dua laporan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial